Saturday, November 20, 2010

Rakyat kita bertaruh RM7 juta sehari di kasino Singapura

NUSAJAYA 19 Nov. - Kerajaan diseru mengambil langkah proaktif bagi mengawal aktiviti rakyat tempatan yang dilaporkan semakin aktif berjudi di kasino negara jiran dengan nilai pertaruhan dianggarkan kira-kira RM7 juta sehari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong berkata, dianggarkan seramai 3,000 orang mengunjungi Singapura bagi tujuan berjudi kasino pada setiap hari dengan nilai perbelanjaan minimum RM2,400 seorang.

"Perbelanjaan mereka ke sana menelan belanja minimum RM2,400 iaitu bersamaan RM7 juta sehari atau RM200 juta sebulan bagi tujuan berjudi," katanya ketika membahaskan Bajet 2011 pada sidang Dewan Undangan Negeri ke-12 di sini hari ini.

Tambahnya, daripada maklumat yang diperoleh, sebanyak 30 buah bas sehari berulang-alik ke tempat perjudian itu dengan tujuh daripadanya adalah bas yang beroperasi di Singapura.

"Gejala negatif itu boleh menimbulkan masalah sosial dan keruntuhan institusi keluarga memandangkan terdapat pelancong tempatan yang berjudi sehingga terpaksa berhutang dengan ah long.

"Malah ada rakyat Malaysia yang bekerja di negara jiran itu menghabiskan duit gaji mereka dan ada yang sanggup mengeluarkan duit simpanan tetap dan menjual harta benda akibat ketagih berjudi," ujarnya.

Menurutnya, kesan negatif itu turut terpalit kepada negara kerana terdapat aliran wang keluar yang begitu tinggi dan boleh menjejaskan sumber pendapatan peniaga tempatan di negeri ini.

Katanya, pengusaha sektor pelancongan tempatan juga merungut kerana perniagaan mereka menyusut sehingga 30 peratus akibat kekurangan pelanggan.

Dalam perbahasan itu juga, Siew Kiong berkata, kerajaan Singapura sendiri telah bertindak menghalang bas yang menjalankan aktiviti tersebut daripada mengambil penumpang dari kawasan perumahan di negara itu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengenakan syarat seperti menghalang agensi pelancongan dan bas pelancongan Malaysia daripada menghantar penumpang ke pusat kasino tersebut.

"Kita tidak mahu perkara ini berterusan kerana ia lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif," katanya

1 comments:

underOneAqidah said...

Astaghfirullah...mereka sanggup menghabiskan duit ke arah kemaksiatan..RM7 juta..bukanlah angka yg kecil..mcm2 lagi yg bleh dilakukan dgn 7 juta....baik mereka taruhkan duit tu utk perjuangan palestin mnentang israel ke ape ke...